Sunday, October 5, 2008

Kesempurnan Ramadhan di Syawal...

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, (iaitu) beberapa hari tertentu.

Maka barang siapa di antara kamu sakit atau dalam perjalanan (lalu tidak berpuasa), maka (wajib mengganti) sebanyak hari (yang dia tidak berpuasa itu) pada hari-hari yang lain. Dan bagi orang yang berat menjalankannya (orang yang sakit berat, yang tersangat tua, hamil atau menyusui), wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin.

Tetapi barang siapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan (memberi makan kepada lebih seorang dari orang miskin untuk satu hari), maka itu lebih baik baginya, dan puasamu itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (al-Baqarah: 183-184).

SEMPURNAKAH puasa Ramadan kita? Yakinkah diri bahawa ibadah puasa yang diamalkan sepanjang Ramadan lalu benar-benar menepati rukun dan adab- adab berpuasa yang dituntut syarak?

Atau puasa kita sekadar berjaya menahan lapar dan dahaga sahaja bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari, kerana sudah jadi ‘budaya’ masyarakat muslim?

Setiap individu yang mengaku Islam dan melaksanakan puasa Ramadan wajar mengemukakan persoalan ini pada diri sendiri. Itu pun, jika kita berhasrat untuk termasuk dalam golongan mukmin iaitu yang beriman dan bertakwa.

Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: Sesiapapun belum dapat disebut telah mendekatkan diri kepadaKu kalau ia cuma baru menunaikan segala yang fardu saja, tetapi seorang hamba yang dapat disebut telah dapat mendekatkan dirinya kepadaKu ialah dengan cara ia banyak mengerjakan pelbagai kebaikan yang sunat-sunat, hingga akhirnya Aku pun mencintainya.

Apabila Aku telah mencintainya, pasti Akulah pemelihara telinga bagi pendengarannya, mata bagi penglihatannya, tangan bagi setiap usahanya dan kaki bagi setiap langkahnya. (Hadis Qudsi).

Imam Ghazali berkata: “Anda tidak akan mampu melaksanakan perintah-perintah Allah itu dengan sebaik-baiknya melainkan dengan menjaga dan mengawasi hatimu dan anggota tubuhmu dalam segala gerak-geri dan keluar masuk nafasmu pada setiap saat, sejak pagi hingga ke petang.

Untuk itu katanya, insaflah bahawa Allah sentiasa mengetahui isi hatimu. Ia sentiasa mengikuti tiap lirikan mata, lintasan hati, tiap fikiran, tiap langkah dan apa pun juga perbuatanmu, gerak dan diammu, sama ada di dalam taat atau maksiat.

Malah beliau mengingatkan, janganlah anda singkatkan amal puasamu setakat berpuasa di bulan Ramadan sahaja, jika di samping berpuasa itu anda meninggalkan suatu perniagaan yang amat menguntungkan dengan melakukan puasa-puasa sunat yang dapat mengangkat darjatmu ke syurga Firdaus.

Ini kerana kata Imam Ghazali lagi, anda akan menyesal melihat betapa tingginya kedudukan orang-orang yang berpuasa dan di samping itu mereka mengerjakan amalan-amalan sunat. Anda melihat mereka itu laksana bintang-bintang yang bergemerlapan, iaitu mereka berada di atas singgahsana yang tertinggi. (Pedoman Orang Takwa; ms: 36 dan 102).

Jika demikian, eloklah kita menyoroti dan menilai kembali kualiti ibadah puasa yang kita sempurnakan sepanjang Ramadan lalu.

Apakah taraf dan kualiti puasa jika mata, telinga, mulut, hidung, tangan, kaki dan seluruh pancaindera, hawa nafsu serta gerak nafas kita sepanjang masa berpuasa itu berada luar kawalan syarak?

* Fadilat

Kalau begitu ayuh! Segera kita ambil kesempatan baki Syawal yang ada ini dengan melaksanakan puasa enam agar fadilat yang dijanjikan itu dapat menokok tambah serta menambah baik segala kekurangan dan ‘kekurusan’ pada ibadah puasa sepanjang Ramadan lalu.

Sebab janji Allah s.w.t. itu pasti dan puasa itu adalah hak-Nya. Cuma kita yang lalai dan alpa kerana terlalu asyik dengan kenikmatan dunia yang fana ini.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringinya dengan enam hari bulan Syawal, maka seolah-olah ia telah berpuasa sepanjang masa. (Riwayat jemaah ahli hadis kecuali Bukhari dan Nasa’i).

Tetapi, jika dengan enam Syawal dirasai belum mencukupi untuk meningkatkan keimanan dan ibadah kepada Allah s.w.t., maka susulilah dengan puasa-puasa sunat pada hari-hari terpilih di bulan Zulkaedah dan Zulhijjah.

Juga boleh diteruskan pada hari-hari tertentu di bulan Muharam, Rejab dan Syaaban pada saban tahun.

Itupun jika usia masih dipanjangkan. Sebab ajal itu tibanya pada bila-bila masa dan tidak mengenal usia. Sedangkan kiamat sudah dekat! Tetapi apakah kita telah menyediakan diri untuk itu?

Kata Imam Ghazali, keutamaan puasa sunat itu sebahagiannya terdapat pada tiap-tiap tahun, sebahagian terdapat pada tiap-tiap bulan dan sebahagian lagi pada tiap-tiap minggu.

Adapun dalam setahun sesudah hari-hari di bulan Ramadan, ialah hari Arafah, hari Asyura, 10 hari pertama bulan Zulhijjah dan 10 hari pertama bulan Muharam juga semua bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab).

Malah Aisyah r.a berkata; Dan adalah Rasulullah s.a.w. membanyakkan puasa di bulan Syaaban sehingga disangka orang bahawa beliau dalam bulan Ramadan. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Adapun puasa yang berulang-ulang dalam sebulan ialah pada awal bulan, pertengahan (hari-hari putih iaitu pada 13, 14, dan 15 hari bulan) dan di akhir bulan.

Sebahagian pada tiap-tiap minggu atau yang berulang-ulang dalam seminggu pula ialah hari Isnin, Khamis dan Jumaat.

Menurut Imam Ghazali lagi, tatkala puasa itu khususnya adalah pencegahan bagi syaitan iaitu penghambatan bagi tempat-tempat yang dilaluinya dan penyempitan bagi tempat-tempat yang ditempuhnya, maka berhaklah puasa itu dikhususkan penyangkutannya kepada Allah s.w.t. (Ihya Ulumuddin Jilid 2; Fasal Ketiga Kitab Rahsia-Rahsia Puasa).

Bagaimanapun, puasa terbaik ialah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: Yang lebih utama puasa ialah puasa saudaraku Daud a.s. Adalah ia berpuasa sehari dan berbuka sehari. (Riwayat Al-Tirmidzi).

Lagipun, amalan puasa itu sendiri mempunyai banyak menafaat kejiwaan dan kesihatan tubuh badan. Kerana setiap perintah suruhan dan larangan dari Allah s.w.t. itu adalah untuk menjamin kepentingan hamba-Nya.

Lantaran puasa adalah menahan lapar dan dahaga dengan tidak memperbanyakan makanan halal sewaktu berbuka, akan hancurlah hawa nafsu dan kuatlah jiwa untuk bertakwa dan mengabdikan kepada Allah s.w.t.

Dalam puasa, kata bekas Guru Besar Psikologi Universiti Cairo, Profesor Dr. Muhammad Usman Najati pula, terkandung aspek pendidikan jiwa dan terapi bagi banyak penyakit jiwa dan tubuh.

Malah katanya, selain manfaat kejiwaan, puasa juga mempunyai manfaat perubatan dan penyembuhan berbagai penyakit fizikal. (Al-Quran dan Psikologi; ms: 238 dan 239).